Pelakon dan pelawak, Zizan Razak tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang sidang media bagi menjelaskan isu dia disaman oleh bekas pengurusnya, Marina Juki sebanyak RM500,000 ekoran didakwa melanggar kontrak bersama Wire Fame Entertainment Sdn Bhd.
Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 30, berkata, perkara tersebut terlalu peribadi untuknya diperbesar-besarkan dalam sebuah sidang media tambahan pula saman itu bukan datang daripadanya.
"Ini adalah masalah peribadi yang pada saya tidak perlu ia diperbesarkan sehingga kena buat sidang media. Apa yang boleh saya katakan harap-harap ia akan diselesaikan dengan baik," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Zizan menyerahkan isu berkenaan kepada peguamnya dan enggan memberikan sebarang kenyataan lanjut mengeni perkara tersebut kerana ia melibatkan undang-undang.
"Ia melibatkan proses perundangan dan itu bukan kepakaran saya jadi lebih baik jangan ulas benda yang saya sendiri tidak pasti.
"Paling baik biarlah peguam saya memberi kenyataan sekiranya perlu dan itu lebih selamat," ujarnya.
Marina memfailkan saman terhadap Zizan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dekat sini pada 6 November lalu kerana mendakwa dia melanggar syarat kontrak apabila bekerjasama dengan syarikat lain sedangkan kontraknya dengan Wire Fame Entertainment hanya tamat pada Mei 2015.