"KAMI akan pulang ke Malaysia pada 12 November ini dengan sebuah jet peribadi!" Begitu ungkapan yang dilontar oleh Ashraf Sinclair kepada Kosmo! saat memberikan perkembangan terkini mengenai dirinya selepas baru sahaja bergelar suami kepada bintang terkenal Indonesia, Bunga Cinta Lestari, Sabtu lalu.
Jika dihitung, termasuk hari ini, sudah empat hari Ashraf, 29, dan Bunga, 25, sah menjadi suami isteri.
Disebabkan media Malaysia tidak membuat liputan majlis akad nikah mereka di Mesjid Al Bina, Jakarta pada Sabtu lalu, dan begitu juga majlis resepsi pengantin perempuan yang berlangsung di Hotel Sultan, Jakarta pada hari Ahad, justeru kepulangan pasangan pengantin yang sama cantik sama padan ini ke Kuala Lumpur pada esok hari, pastinya bukan sahaja dinanti-nantikan oleh peminat mereka berdua tetapi juga media negara ini.
Apabila Ashraf mengkhabarkan bakal pulang dengan sebuah jet peribadi, sudah tentulah ia sesuatu yang boleh dianggap luar biasa.
Ini kerana bukan calang-calang orang yang mampu terbang di udara dengan jet peribadi, kecuali kalau mereka dari golongan jutawan.
"Sebenarnya penerbangan pulang saya dan Bunga ke KL menggunakan jet peribadi yang ditaja oleh rakan-rakan Bunga, tapi tidak bolehlah saya beritahu nama mereka," ujar Ashraf menerusi perbualan telefon dengan Kosmo!
Pelakon kacak ini bagaimanapun menegaskan kenyataannya mengenai jet peribadi tersebut bukanlah bertujuan untuk bermegah-megah, tetapi sekadar tidak mahu menyembunyikan fakta mengenai perjalanan perkahwinannya itu, khususnya daripada pengetahuan pihak media tempatan.
Sementelah, episod perkahwinan Ashraf dan Bunga belum berakhir lagi kerana bakal berlangsung dua majlis resepsi pihak keluarga Ashraf di Kuala Lumpur iaitu pada 14 November ini di The Saujana Kuala Lumpur, khusus untuk rakan-rakan di Malaysia.
Kemudian pada keesokannya pula menjemput khas ahli keluarga dan sanak saudara, majlis bakal diadakan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara (KGPA).
"Saya mengakui terkilan juga tidak dapat menjemput media tempatan yang saya anggap sebagai rakan-rakan baik saya untuk membuat liputan majlis akad nikah dan resepsi pengantin perempuan di Jakarta.
"Ini kerana bukan apa, saya bimbang media Malaysia tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya media Indonesia yang agak agresif dan lebih mirip kepada paparazi seperti media di Hollywood," jelas Ashraf yang menyatakan penerbangan pulang dirinya dan Bunga ke Kuala Lumpur nanti berkemungkinan pada malam Rabu ini, namun ia belum ditetapkan waktunya.
Diserbu 150 wakil media
Menyentuh mengenai media Indonesia yang hadir pada majlis akad nikah dan majlis resepsi pengantin perempuan, jelas Ashraf, "Bukankah saya dah kata sebelum ini, walaupun tidak dijemput mereka tetap akan datang.
|
|
"Apa yang penting mereka mahu menjalankan tugas mereka dan di pihak saya tiada halangan. Kalau dihitung bilangan wakil media Indonesia yang datang pada majlis resepsi keluarga Bunga sahaja mencecah lebih 150 orang.
"Disebabkan mereka sudah datang, saya dan Bunga tetap tenang melayan mereka sekadar yang termampu."
Menyentuh mengenai majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Sultan Ahad lalu yang turut dihadiri tetamu VVIP iaitu Naib Presiden Indonesia, Muhammad Jusuf Kalla dan isterinya, Mufidah, beritahu Ashraf, "Saya merasa sangat bahagia dan rileks walaupun tetamu yang datang ramai, kira-kira 1,000 orang. Ini kerana tidak seperti majlis perkahwinan di Malaysia, di sini ia tidak begitu mengikut protokol.
Tambahnya, "Tetamu yang datang ada semata-mata hanya mahu bersalam dengan saya dan Bunga dan kemudian terus beredar dari majlis, malah ada yang tanpa menjamah makanan.
"Itulah yang saya maksudkan tidak mengikut protokol seperti di Malaysia, yang mana tetamunya perlu menunggu sehingga majlis selesai sebelum beredar."
Menurut Ashraf lagi, sepanjang majlis itu berlangsung kira-kira dari pukul 7 malam hingga 10 malam, dia dan Bunga terpaksa berdiri untuk bersalaman dengan para tetamu.
"Letihlah juga, tetapi bukan selalu saya dapat merasai pengalaman sebegini, yang penting saya rasa sangat gembira, dan tenang. Apa pun ini suatu pengalaman baru yang baik buat saya belajar budaya Indonesia," akuinya.
Menetap di Indonesia
Mengenai masa depannya dengan Bunga selepas bergelar suami isteri, Ashraf menegaskan dia sudah membuat keputusan untuk menetap selama dua tahun di Indonesia.
"Bukan sahaja kerana saya sudah bergelar suami kepada seorang bintang terkenal Indonesia, tetapi juga kerana saya juga bakal membina karier lakonan saya di sini," ujarnya yang telah mengikat kontrak berlakon dalam 200 episod drama produksi Indonesia, selain bakal muncul menerusi dua buah filem Indonesia, Pocong dan Saus Kacang.
Bicara Ashraf lagi, "Selama dua tahun ini, saya bukan sahaja sibuk dengan karier lakonan, tetapi juga mencari peluang bisnes di sini."
Mengakhiri bicara buat kali ini, tutur Ashraf, "Dan yang paling utama adalah untuk saya membina sebuah keluarga bahagia bersama Bunga, kerana dalam dua tahun itu, sudah tentu kami sudah dikurniakan cahayamata yang melengkapkan lagi kebahagiaan kami selepas bergelar suami isteri," ucap Ashraf dalam tawa.
0 comments:
Post a Comment