MESKIPUN sudah berbadan dua dan kini kandungannya sudah masuk bulan ke lima, pelakon jelita, Erra Fazira tetap meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa.
Malah, dia juga masih kelihatan aktif seperti dulu. Apa yang berbezanya sekarang cumalah dia kini lebih banyak mengenakan pakaian yang longgar selain bertambah selera makan.
Ini semua terlihat jelas ketika bertemu dengannya pada majlis sidang media drama terbaru lakonannya yang berjudul Mertua vs Menantu di Ampang, baru-baru ini.
"Sekarang ini berat badan saya bertambah sampai lapan kilogram dan ia akan bertambah lagi seiring dengan perkembangan kandungan saya.
"Bab selera makan pula jangan cakaplah, walaupun setakat ini saya tidak pernah mengidam apa-apa, tetapi tekak saya sentiasa terbuka kepada setiap jenis makanan, tidak kiralah siang atau malam," ujarnya sambil tersenyum manis.
Erra bertuah kerana dia juga tidak mengalami sebarang alahan atau pun 'morning sickness', malah masih menjalani kehidupan seperti dulu. Cuma perutnya saja bertambah membesar.
"Saya bersyukur kerana saya tidak pula muntah-muntah atau pening kepala seperti kebanyakan wanita hamil. Saya masih boleh keluar bekerja dan menjalani aktiviti seperti biasa," jelasnya.
Dia yang kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Mertua vs Menantu cukup bertuah apabila wataknya cukup dekat dengan keadaan dirinya di alam realiti.
"Dalam drama ini, lakonan saya pelbagai fasa, iaitu sebelum berkahwin, sesudah berkahwin dan semasa mengandung. Uniknya perkembangan perut saya dirakam dalam drama ini kerana memang watak saya sebagai wanita mengandung.
"Jadi saya tidak perlulah pakai bantal pelapik di perut sebab saya sudah ada perut kembang semula jadi," katanya yang diiringi gelak tawa.
|
|
Tambahnya lagi, sungguhpun berbadan dua itu bukan halangan buat dirinya untuk terus berada di lokasi penggambaran, memandang dia berkerja dengan krew produksi yang cukup memahami keadaan dirinya.
"Saya rasa bertuah sangat sebab orang yang kerja di sekeliling saya cukup memahami, sebab itu saya tidak berasa apa-apa walaupun sedang mengandung.
"Semasa awal kandungan, lakonan saya dalam drama ini sedikit lasak. Masa itu boleh lagi berlari, bawa motor, dan melompat, tetapi bila sudah cecah bulan kelima ini, saya lihat pengarah banyak mengurangkan sedikit adegan lasak untuk saya," tuturnya.
Suami suruh rehat
Menurut isteri kepada Ketua Pengawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin ini lagi, sungguhpun sibuk dengan kerja dia tidak pernah mengabaikan kesihatannya apatah lagi sering saja dinasihati suami tercinta.
"Berlakon memang penat dan penuh cabaran apatah lagi bila saya berbadan dua, tetapi saya sering mengingatkan diri saya supaya sentiasa mengutamakan kesihatan.
"Suami saya pun hari-hari memberi nasihat, dan suruh saya berehat, tetapi saya bukan jenis orang yang boleh duduk diam. Walaupun duduk di rumah, pasti ada saja kerja yang akan saya lakukan untuk mengisi masa," terang Erra.
Beritahunya lagi yang dijangka melahirkan anak pada bulan Mac tahun depan, dia tidak pernah meletakkan tarikh untukmula berehat sebelum bersalin.
"Selagi badan saya terdaya untuk bekerja, saya akan terus bekerja walaupun ketika itu kandungan saya telah mencecah lapan bulan. Tetapi lakonan saya waktu itu haruslah bersesuaian dengan keadaan diri saya.
"Mungkin saya akan kena marah dengan suami kalau bekerja semasa sarat mengandung, tetapi dia tetap memberi sokongan dan dalam masa yang saya tidak berhenti memberi nasihat.
"Ikutkan kalau saya lahirkan anak bulan Mac, saya akan kurangkan kerja dan berehat dalam bulan Februari, tetapi kalau bulan Disember saya sudah tidak larat, lebih baik berehat saja," bicaranya lagi.
Jika berehat sekalipun, Erra tetap akan melakukan sesuatu untuk mengisi masa lapangnya, dan mungkin waktu rehatnya akan digunakan untuk menyiapkan pembikinan albumnya.
Namun, begitu, ia berbalik kepada tahap kesihatannya kerana jelasnya ketika mengandung dia lebih mudah penat dan ini sedikit sebanyak menganggu pernafasannya untuk menyanyi.
"Saya tengok dulu macam mana, kalau kesihatan okey saya akan berkurung di studio dan menyiapkan album. Kalau nafas saya semput, macam mana nak nyanyi, kena tunggulah lepas bersalin.
"Tetapi setakat ini sudah dua lagu telah siap dirakamkan, dan satu lagu telah dirakam klip videonya, kalau okey saya terus sambung buat album ini masa rehat kerana lepas bersalin boleh terus buat promosi," katanya.
Dalam pada itu, drama Mertua vs Menantu sebanyak 26 episod yang sedang ditayangkan di Astro Prima ini dikatakan sebagai drama yang tertinggi ratingnya dalam Astro dan berita ini disambut dengan gembira oleh Erra.
"Mestilah gembira, saya rasa konsep drama yang menekankan menantu dan mertua ini diterima baik penonton mungkin kerana ia dekat dengan kehidupan masing-masing.
"Jumlah penonton meningkat bukan kerana semua tenaga produksi bukan sebab saya, tetapi kalau orang menontonnya kerana meminati lakonan saya, itu satu bonus dan saya bersyukur.
"Apa pun kehidupan rumah tangga saya tidaklah seperti yang digambarkan dalam drama ini. Ibu mentua saya melayani saya dengan begitu baik sekali. Drama ini hanyalah lakonan semata-mata," ujarnya.
Selain Erra, drama bersiri terbitan MIG Production Sdn. Bhd yang akan tamat penggambarannya pada awal Disember ini turut menampilkan Rozie Othman, Aqasha, Raja Farah, Sheila Mambo dan Jehan Miskin.
0 comments:
Post a Comment