
Seorang lelaki warga Malaysia berumur 46 tahun yang bekerja di Belgium mati akibat Influenza A(H1N1) tengah hari semalam, menjadikannya mangsa kedua yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini.
Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan dengan kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari mendapat rawatan di unit rawatan rapi di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Mohd Ismail Merican, lelaki itu telah berada di Malaysia pada 4 Julai lepas.
"Pada mulanya beliau sihat sehingga beliau bercuti bersama keluarga di Langkawi pada 13 Julai 2009 dan telah mula mengalami demam serta batuk.
"Sekembali dari Langkawi, beliau telah mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai 2009. Pemeriksaan Xray dada telah menunjukkan beliau mengalami pneumonia," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Mohd Ismail berkata, kes lelaki itu kemudian dirujuk ke hospital swasta di Subang Jaya pada 19 Julai dan beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi. Beliau berkata ujian sampel tekak telah dibuat pada 22 Julai dan Institut Penyelidikan Perubatan mengesahkan lelaki itu positif influenza A(H1N1) sehari selepas itu.
"Kes tersebut yang telah mengalami pelbagai komplikasi telah meninggal dunia pada 26 Julai 2009 jam 12.35 tengah hari, dan penyebab kematian dicatatkan sebagai pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan dengan kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut setelah tujuh hari mendapat rawatan di unit rawatan rapi hospital swasta berkenaan," katanya.
0 comments:
Post a Comment