Penulis lirik popular, Rosli Khamis, 50, atau Loloq, tidak mahu ahli keluarganya membenarkan sahabat handai melawat beliau ketika sedang dirawat di hospital.
Menurut isteri komposer M. Nasir, Marlia Musa, semasa hayatnya, allahyarham sempat berpesan kepada ahli keluarganya supaya tidak ada sesiapa yang melawat beliau semasa terlantar sakit.
"Ini kerana dia tidak mahu kawan-kawan melihat dirinya dalam keadaan lemah dan tidak berdaya," kata Marlia.
Loloq, meninggal dunia setelah empat hari berada di dalam keadaan koma di Hospital Pakar Damansara pada pukul 1.30 tengah hari semalam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Hariyah Yaacob dan tiga sahabat lain.
Penulis lirik lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Andalusia itu menjalani pembedahan di kepala pada Selasa lalu setelah menghidap pendarahan serius di kepala.
Menurut Hariyah, doktor mengesahkan punca kematian suaminya adalah disebabkan pendarahan otak.
"Semalam keadaan dia sudah kelihatan agak stabil, bagaimanapun saya diberitahu oleh doktor akibat terlalu banyak kandungan karbon dioksida di dalam paru-paru telah memberi kesan kepada keseluruhan sistem dalaman badannya.
"Ini menyebabkan beliau tidak dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al-Ikhlas, Bandar Baru Sungai Buloh, tempat jenazah Loloq dikafan dan disembahyangkan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh lewat petang semalam.
Hasil perkongsian hidup dengan Hariyah, allahyarham meninggalkan tiga cahaya mata, Krsty Nur, 10, Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5.
Lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Loloq berjudul Angkasawan yang dinyanyikan oleh kumpulan Butterfly.
Loloq, anak seni kelahiran Singapura mula aktif dalam bidang penciptaan lagu bermula tahun 1987.
Sejak tahun 1990, Allahyarham menjadi penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman Luncai Emas milik M. Nasir dan telah menghasilkan sehingga 500 buah lirik lagu.
Puluhan rakan artis antaranya Amy Search, Hattan, kumpulan Spider, Eman Manan dan ramai lagi turut menziarahi jenazah.
0 comments:
Post a Comment