
Sejauh mana keikhlasan hatinya dalam melaksanakan perintah Allah pasti dipertikai masyarakat. Bagi pelakon dan pengacara popular, Sheila Rusly yang kini tampil dengan imej bertudung sejak kembali dari Makkah Isnin lalu, berdoa ke hadrat Ilahi supaya ditetapkan imannya.
“Saya berdoa setiap hari di hadapan Kaabah supaya tetapkan iman kerana apa yang saya lakukan ikhlas terbit daripada hati. Tiada sesiapa pengaruhi saya termasuklah suami. Saya juga tidak minta pendapat orang lain untuk melakukan perubahan ini.
“Insya-Allah, saya akan kekal bertudung. Saya pergi menunaikan haji selama 44 hari dan sejak itu saya tidak pernah menanggalkan tudung ini. Daripada tazkirah yang saya dengar setiap kali selepas solat Isyak di Masjidil Haram, perkara yang kita selalu buat lebih 40 hari, akan kekal padanya.
“Sebelum ke Makkah, saya tidak pernah merancang untuk bertudung dan apabila ada yang bertanya mengenainya, saya belum ada jawapan lagi. Lagipun saya tidak tahu apa akan terjadi pada saya apabila berada di Makkah.
“Cuma sebelum berangkat, saya panjatkan doa minta Allah permudahkan urusan kami suami isteri ketika berada di sana.
“Seperti jemaah haji lain, hari pertama saya menjejakkan kaki di Makkah saya bertudung dan hati saya terus terbuka untuk kekal bertudung. Sejak itu sehinggalah balik ke tanah air, saya berdoa minta tetapkan hati saya,” katanya.
Sheila yang berangkat ke Makkah pada 9 Disember bersama suami, Azman Yahya atau Jinggo dan ibunya, Asmah Abdullah, mengakui menggalas gelaran hajah satu tanggungjawab besar. Ia amanah Allah dan gelaran itu membuatkan dia lebih merendah diri.
“Gelaran hajah membuatkan saya lebih berhati-hati dalam apa juga tindakan. Ia juga mendidik diri saya sentiasa merendah diri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment